Posts

Showing posts from May, 2018

Laungan Keramat

Ku terjaga Di subuh yg hening Saat fajar menyingsing Bayu pagi berpuput lembut Mengusik tubuh dingin sekali Ketika sinar sang suria menerangi kamar Kedengaran satu laungan Merdu, berlagu, sayu Menyapa gegendang Mengimbau sejarah lalu Umat Islam berjuang mati-matian Dalam keadaan lapar dahaga Bertumpah darah dan keringat Namun tak sedikitpun menggugat iman di sanubari Dek semangat juang yg membara Laungan itu tanda kemenangan Hasil perjuangan mereka Bahkan sehingga kini Laungan itu Masih kedengaran di seluruh pelosok dunia Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar 1 Syawal tarikh bersejarah Memperingati peristiwa berdarah Perjuangan Rasul al-Amin Dalam mempertahankan agama Nahnu khairul ummah Perlu meneruskan perjuangan baginda

Tolong Jaga Dia

Jalan yang kita pilih tidak lagi sehaluan Halatuju kita bertentangan Amat sukar untuk kita bersua Seperti di masa lalu Aku merasai kehilangan Dan rasa itu melemahkan aku Aku berharap bahwa perpisahan ini takkan kekal Kerana aku ingin melihatmu lagi Senyuman mu yang indah Seperti bianglala di kaki langit Sering bisa menenangkan hatiku Kehadiran mu di sisi Seolah-olah memberikan kekuatan Untukku hadapi ranjau kehidupan Sungguh, sukar untukku melupakanmu Andai Tuhan izinkan Kita pasti kan bertemu Namun sehingga itu Ku titipkan doa ini khas buatmu "Ya Tuhan, Aku mohon, Tolong jaga dia, Kerna aku takkan sentiasa ada disisinya Hanya Engkau sebaik-baik penjaga dan pelindung"

Ranjau Kehidupan

Orang yang engkau lihat wajahnya sentiasa gembira Tidak bermakna hidupnya tiada masalah Kerana kita adalah manusia yang sering diuji dengan pelbagai dugaan Usahlah bersedih duka Atas dugaan yang menimpa Kerana ujian itu tandanya Allah cinta Jangan biarkan duka bermaharajalela Sebaliknya positifkan dirimu, dan Dekati Rabb mu, Nescaya kau akan menemui Bahagia yang menanti

Impian Setinggi Langit

Usahlah sering mendongak langit Kerana ia membuat engkau alpa Terhadap apa yang dimiliki Serta meragut rasa syukur kepada-Nya Tetapi andai engkau punya impian setinggi langit Genggamlah ia dengan erat Lalu kejarlah angan mu itu Tebarkan sayapmu Terbang setinggi-tingginya Usahalah semampunya Tetapi awas!  Jangan biarkan angin jadi penghalang Jangan sampai kau terbuai, lalu terapung di awangan Seringlah tetapkan dirimu supaya Sentiasa berpijak di bumi nyata Agar engkau sentiasa ingat kedudukanmu Tetaplah maju ke hadapan dan jangan pernah berhenti melangkah Kerna pabila tiba waktunya Kau akan menemui jalan Panjatlah tangga itu yang menuju ke angkasa Di mana terletaknya impianmu Biar punya cita-cita setinggi langit Tetapi jangan sekali mencari kesempurnaan

Kemaafan itu Suatu Penawar

Dendam itu membinasakan diri Bagai api yang membakar Bagai jarum yang menusuk Bagai racun yang membunuh Melukai perasaan Menyakiti segenap penjuru rasa Merobek kepercayaan Meroboh tembok harapan Padamkanlah api dendam Dengan limpahan air kemaafan Jahitlah luka dendam Dengan benang silaturahim Sesungguhnya kemaafan itu Mampu memadamkan kemarahan Mengubati luka emosi Yang mencalari kenyal hati

Warna-Warni Kehidupan

Suasana yang ceria Dunia tampak beraneka warna Penuh dengan keriangan gelak tawa Riak gembira jelas terpancar Tidak mengenal sedih duka Marah dan gundah jarang sekali dirasai Hari-hari itu adalah hari-hari terindah Tetapi ia pasti berlalu Langit yang cerah  bertukar  mendung Kadangkala membawa hujan, guruh dan ribut petir Namun mendung juga semestinya tidak kekal kerana langit itu sifatnya sentiasa berubah Sinaran mentari pasti kembali Adakalanya muncul bersama pelangi Begitu juga kehidupan Sentiasa berubah-ubah Semuanya datang dan berlalu pergi Tiada satu pun yang kekal Jadi mengapa harus meratapi apa yang telah berlaku? Ayuh, hapus air matamu Bangkit dan percayalah Ada hikmahnya di sebalik semua ini Ada sinarnya disebalik setiap kegelapan

Bunga

Ada sebuah taman Yang penuh dengan keindahan Dipenuhi tumbuh-tumbuhan hijau dan bunga-bungaan pelbagai warna Merah, ungu, kuning, dan biru Masing-masing mempunyai wangian tersendiri Harum semerbak di segenap penjuru Di satu lorong Ada sekuntum bunga Mawar merah yang mekar Sungguh indah dipandang  dan sangat harum baunya Wangiannya memukau, menarik hatiku Namun tak bisa aku sentuh Dek terlalu banyak duri Yang bisa melukakan dan menyakiti Baru aku sedari Mawar itu memang indah Tetapi tidak sesekali Aku bisa memetiknya Di satu sudut lagi Ada sekuntum mawar Satu persatu kelopaknya gugur Warnanya tidak semerah dulu Bahkan tidak lagi mengeluarkan wangian Mawar itu kering, layu dan telah hilang serinya Dalam sekelip mata ia diterbangkan bayu Kuntuman itu gugur mencecah bumi Bunga yang layu mana mungkin mekar semula Lama-kelamaan akan lesap ditelan bumi